Friday, August 15, 2008

Tabung Amanah Bakun

Courtesy of: The Borneo Post Online

Permohonan biasiswa pelajar dari Belaga ditolak, gara-gara kontraktor tidak tunai janji

KUCHING: Permohonan biasiswa atau pinjaman pendidikan oleh pelajar dari Belaga ditolak berikutan anggapan Tabung Amanah Bakun (TAB) masih mampu menyediakan kemudahan berkenaan.

Sedangkan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang, TAB tidak cukup wang untuk diberikan (kepada pelajar) kerana kontraktor pelaksana projek empangan Bakun gagal menunaikan janji.

“Permohonan dari Belaga untuk pinjaman dari institusi penyedia pinjaman pelajaran yang lain seperti Yayasan Sarawak, Dana Pelajaran Tinggi Sarawak, Yayasan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain ditolak kerana mereka beranggapan beban kewangan dalam pelajaran ditanggung sepenuhnya oleh TAB,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Liwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Asap Koyan berkata, kontraktor empangan itu telah berjanji untuk menyumbang RM5 juta kepada TAB.

“Penyerahan replika cek kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di Sibu dan disaksikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk tabung pendidikan ini perlu dikotakan,” ujarnya.

Penduduk Belaga katanya, kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak menepati janji kerana tindakan tersebut telah menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata lagi, pemberi pinjaman atau biasiswa pendidikan tidak sepatutnya menafikan hak pelajar dari Belaga untuk mendapatkan dana dari tempat lain.

“Mereka tidak seharusnya didiskriminasi daripada menerima mana-mana biasiswa disediakan kerajaan negeri.

“Sebagai penduduk Sara-wak mereka mempunyai hak sama rata untuk menerima biasiswa dan TAB hanya berperanan sebagai pelengkap atau tambahan kepada dana yang lain,” jelas beliau lagi.

Jawatankuasa Pembangunan Asap Koyan juga mengesyorkan TAB untuk membawa kontraktor terbabit ke mahkamah kerana gagal menunaikan janji kepada Kerajaan Persekutuan dan penduduk Belaga,” katanya.

No comments: